ANAKLAUT

Tuesday 1 January 2013

SEJARAH PENGAKAP DI MALAYSIA


Pergerakan Pengakap mula berkembang di Malaysia (Malaya) apabila F.C.Sands menubuhkan pasukan Pengkap Kanak-Kanak (cubs) di Singapura pada tahun 2hb Julai 1910, 2 tahun setelah BP mengasaskan Pergerakan ini di England.

Bergerak dari tarikh itu, pada tahun 1919 Pasukan Pengakap untuk budak-budak Melayu telah diasaskan oleh Kapten N.M. Hashim dan Encik A.Z.Alsagoff,juga di Singapura. Negeri Melayu yang pertama memulakan Pergerakan Pengakap ialah Pahang (Pekan) oleh G.M.Laidlow.Namun begitu, pergerakan ini terus terkubur setelah G.M.Laidlow meninggal.Pada tahun 1927, pergerakan Pengakap dihidupkan semula oleh H.P.Hertslet, Frisby dan Wheeler dari Jabatan Pelajaran Pahang memajukan pergerakan ini. H.R. Cheesman (seorang ahli pendidikan yang terkenal) telah menubuhkan pergerakan Pengakap di Pulau Pinang iatu di Penang Free School pada tahun 1915.Mendiang juga menjawat jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Malaya selama 13 tahun lamanya.

Di Perak pula, pergerakan pengakap ditubuhkan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1926 oleh I.R.Wheeler.Pada tahun 1922, pergerakan Pengakap bermula di Kedah. Manakala di Johor pula, pergerakan ini bermula pada tahun 1928 dengan kumpulan pertamanya di Maktab Sultan Abu.Bakar.Melaka dan Negeri Sembilan memulakan pergerakan Pengakap pada tahun 1926 oleh Brunstone. Selangor menubuhkan pergerakan Pengakap pada tahun 1926 oleh Ameen Akbar. Terengganu dan Kelantan memulakan pergerakan ini pada tahun 1927. Pengasas di Terengganu ialah A.J.Gracle,dan di Kelantan pula ialah YM Tengku Ahmad Temenggong.Perlis pula ialah pada tahun 1931. Sarawak menubuh pergerakan pengakap pada tahun 1913 dan Sabah pada tahun 1915. Setelah merdeka pada tahun 1957, Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu, menjadi ahli dalam Persidangan Pengakap Sedunia. Pada tahun 1963 (penubuhan Malaysia), Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Pengakap Malaysia.

Ringkasan Tahun Negeri Yang menubuhkan pergerakan Pengakap
1910 Singapura F.C. Sands
1913 Sarawak (tidak aktif sehingga tahun 1930) .
1915 Sabah (tidak aktif sehingga tahun 1930) .
1915 Pulau Pinang H.R.Cheesman
1919 Singapura (pengakap Melayu) Kepten NM Hashim/En.AZ Alsagoff
1922 Kedah EC Hicks / EAG Stuart / RPS Walker
1926 Perak I.R. Wheeler
1926 Melaka & Negeri Sembilan Brunstone
1926 Selangor Ameen Akbar
1928 Johor
1927 Terengganu A.J. Gracle
1927 Kelantan YM Tengku Ahmad Temenggong
1931 Perlis

LAMBANG PENGAKAP DUNIA


1. Pecahan tiga kelopak-melambangkan Persetiaan Pengakap yang tiga, iaitu taat kepada
    Tuhan, taat kepada Raja dan taat kepada Negara.
2. Dua buah bintang pecah lima warna ungu pada kelopak kiri dan kelopak kanan-
    melambangkan Undang-undang Pengakap yang sepuluh itu.
3. Ikatan putih-menunjukkan ikatan persaudaraan pengakap.
4. Lingkaran tali berwarna putih-melambangkan persaudaraan Pengakap Sedunia.
5. Warna ungu-warna Biro Pengakap Sedunia.
6. Warna putih-kesucian dan kebersihan.



LAMBANG PENGAKAP MALAYSIA


1. Terdapat 3 kelopak pada lambang yang membawa maksud 3 Persetiaan Pengakap
     iaitu:Taat kepada Tuhan,Raja dan Negara,Menolong orang setiap masa,Menurut
    undang-undang Pengakap.
2. Bintang pecah lima (berwarna hijau) menandakan undang-undang Pengakap yang
    sepuluh.
3. Ikatan hijau yang mengikat kelopak melambangkan "Persaudaraan Pengakap"
4. Bintang pecah 14 melambangkan "Kesemua negeri-negeri dalam Malaysia"
5. Bulan Sabit menandakan "Agama rasmi Negara iaitu Agama Islam".
6. Lingkaran Tali melambangkan "Perpaduan Rakyat Malaysia dan
   Persaudaraan Pengakap Sedunia".
7. Warna kuning,hijau,merah yang terdapat pada lambang menandakan unit-unit
   pengakap:Kuning - "Pengakap Kanak-Kanak",Hijau - "Pengakap Muda",Merah -
   "Pengakap Remaja"
8. Warna kuning pada bulan sabit dan bintang juga melambangkan warna diraja bagi Duli-    
    Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

THURSDAY, OCTOBER 16, 2008


ISTIADAT LAUNG AGONG

Istiadat Laung Agung adalah tradisi dalam Istiadat PKK dan telah digunakan di seluruh dunia. Ia dilakukan oleh PKK untuk menunjukkan bahawa mereka telah membuat "Sehabis Baik". Kata penghargaan itu ditujukan khas kepada pemimpin PKK atau Akela. Laung Agung hendaklah diadakan pada setiap awal dan akhir perjumpaan PEK

1. TUJUAN
a. Menandakan permulaan atau tamat sesuatu perjumpaan
b. Mengingati tradisi atau istiadat bagi PKK di seluruh dunia
c. Untuk menghormati tetamu yang datang ke PEK
d. Melahirkan semangat setiakawan, perpaduan serta membina disiplin
e. Menyatakan bahawa PKK membuat "Sehabis Baik"

2. CARA PELAKSANAAN ISTIADAT LAUNG AGUNG
1. Akela berdiri di hadapan bendera dan berteriak " PEK " (1 kali – kuat & nyaring). Semua PKK berdiri diam dalam keadaan sedia

2. Akela berteriak "PEK, PEK, PEK" dan melipat tangan paras bahu sebagai isyarat kepada PKK membuat bulatan kecil bahu ke bahu mengeliling Akela PKK menjawab " P...E...K..." (5 harkat) dan berlari anak megelilingi Akela dengan membuat bulatan kecil bahu ke bahu.

3. Akela depakan tangan sebagai isyarat kepada PKK membuat bulatan besar mengikut sekawan mengelilingi Akela sambil berpegangan tangan. Apabila bulatan telah berada dalam keadaan sempurna, Akela turunkan tangan dan PKK menjatuhkan tangan mereka.

4. Akela angkat tangan depa dari bawah ke paras bahu dan PKK mengangkat tumit. Akela merapatkan tangan ke peha dan secara serentak PKK mencangkung dengan kedua-dua peha rapat ke hadapan dan tangan di sisi kedua-dua belah peha dengan hujung lima jari mencecah ke tanah sambil kepala memandang ke hadapan dan terus berkata serentak " A K E L A " KITA BUAT HABIS BAIK. Pada penghabisan perkataan BAIK, PKK sudah bangun tegak dalam keadaan sedia.

5. Petugas (Ketua Sekawan Bertugas) memberi hormat kepada Akela dan mencabar "KAMU BUAT HABIS BAIK?" PKK memberi hormat kepada Akela dan terus menjawab "KAMI BUAT HABIS BAIK" Akela membalas hormat dalam keadaan sedia (tidak berpusing). PKK tidak jatuhkan tangan mereka sehingga Akela menjatuhkan tangannya.

3. ISTIADAT MENGIBARKAN BENDERA
1. Akela akan berkata "BENDERA". Semua PKK mengadap bendera. Petugas (Ahli dalam Sekawan Bertugas) keluar terus berjalan (berkawad) menuju ke tiang bendera.

2. Petugas (Ahli dalam Sekawan Bertugas) berhenti pada jarak satu langkah di hadapan tiang bendera. Dalam keadaan sedia, tangan kanan petugas merentap (1 kali sahaja) tali bendera untuk "memecah bendera" dan selangkah ke belakang untuk memberi hormat bendera serta diikuti pemimpin dan PKK. Petugas berpusing ke belakang dan kembali ke tempat asalnya dengan berkawad.

3. Selepas itu, Akela akan berkata "NEGARAKU". PKK secara serentak menyanyikan lagu "Negaraku" bersama-sama dan kuat. Pada akhir lagu semua PKK mengadap kembali ke dalam bulatan seperti asal.

4. Selepas itu Akela berkata "DOA". Petugas (Ahli dalam Sekawan Bertugas) berkata "up" sebagai isyarat menadah tangan berdoa. Bagi yang bukan muslim, tundukkan kepala dan pandang tumit sambil bertafakur mengikut agama masing- masing. Selepas tamat doa Petugas (Ahli dalam Sekawan Bertugas) berkata "up" sebagai isyarat turunkan tangan.

5. Sekiranya ada Ketua Pemimpin, Akela akan melapur kepada Ketua Pemimpin atau minta menjalankan tugas lain.

6. Selepas itu Pemimpin dikehendaki memeriksa dan membetuklan kesilapan uniform PKK sebelum membuat pengumuman
Buku log- Pengakap

Sumber Dari SU PLN Sabah





Pengenalan

Dewasa ini, mutu Pengakap yang ditunjukkan hari ini semakin dipertikaikan di mana-mana tempat wujudnya Pergerakan Pengakap ini. Dalam perkara ini, langkah terbaik yang harus dilakukan oleh para Pemimpin bukanlah menuding jari sesama sendiri ataupun terus duduk diam tanpa sebarang tindakan susulan. Para Pemimpin haruslah menguatkan semangat dan menaikkan semula semangat serta komitmen mereka untuk memimpin dan membantu ahli Pengakap dibawah bimbingan mereka. Kekurangan dari segi pengetahuan dan sumber rujukan bukanlah sesuatu alasan yang seharusnya ditimbulkan kerana secara tidak langsung, apabila ianya muncul, semangat Berpengakap itu dengan sendirinya akan berkurangan dan semakin menjadi malap.Apa yang harus disematkan di dalam minda Pemimpin itu sendiri adalah Pengakap itu merupakan satu Pendidikan Sepanjang Hayat. Pemimpin Pengakap di peringkat yang tertinggi pun tidak lepas daripada tuntutan untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan mereka dalam Berpengakap. Ini adalah untuk memastikan bahawa Kepengakapan itu sentiasa relevan dan diterima walau macamana sekalipun perubahan yang berlaku terhadap persekitaran dan gaya hidup masyarakat.Satu contoh pembelajaran dalam Pengakap di semua peringkat adalah mengajar serta melatih Pengakap lain dan diri sendiri bagaimana menyediakan buku log.Saya sendiri telah melihat dan meneliti beratus naskah buku log Pengakap yang rupa, bentuk dan cara penyediaannya berbeza antara satu sama lain. Hasil penelitian ini telah saya gabungkan dengan kehendak pemeriksa, kesesuaian serta kepadatan isi kandungan dan saya wujudkan dalam bentuk satu garis panduan yang boleh membantu Pemimpin dan para ahli Pengakap dalam menyediakan sesebuah Buku Log.Panduan yang ditulis ini bukanlah satu kaedah yang MUKTAMAD ataupun wajib dipatuhi dipatuhi, tetapi sekadar garis panduan untuk memudahkan para pembaca memahami kaedah serta bagaimana memulakan penulisan sesebuah buku log.


NOURMAN RAYN DATUK AWANG ZAINI
Setiausaha Latihan Negeri
Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah
Kota Kinabalu
26 Disember 2008


APAKAH ITU BUKU LOG?

Dalam dunia kepengakapan, sesebuah laporan kemajuan, pencapaian dan aktiviti bertulis atau dicatatkan oleh seseorang Pengakap yang mengambil sesuatu ujian lencana atau anugerah adalah dipanggil sebagai ‘Buku Log’.Buku Log seharusnya mengandungi catatan rekod yang diharapkan boleh dijadikan panduan, laporan dan juga pengesahan terhadap penglibatan seseorang Pengakap itu. Ianya juga boleh merupakan rakaman peristiwa yang berlaku dan catatan harian bagi sesuatu aktiviti Pengakap.Sehubungan itu, seseorang pencatat buku log haruslah mengasah kemahiran meneliti dan menghalusi pemahaman terhadap persekitarannya serta mampu pula menzahirkannya dalam bentuk penulisan, lakaran mahupun bantuan visual ataupun grafik.Di dalam buku log ahli Pengakap, Pemimpin juga boleh mencatat komen terhadap penulisan serta memberikan pengesahan terhadap ujian yang diambil oleh ahli Pengakap tersebut.


NOTA:Semasa Ujian Pentarafan Pengakap Raja, buku log peserta akan diperiksa oleh Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Negeri untuk melihat sejarah serta penglibatan peserta dalam Kepengakapan secara keseluruhan. Jadi, pemeriksa akan mengharapkan yang peserta akan melampirkan atau melekatkan salinan sijil-sijil kelulusan bagi lencana dan ujian terbabit di dalam buku log mereka.Setakat ini, tiada had piawai bagi jumlah mukasurat sesebuah buku log. Namun berdasarkan pengalaman, buku log yang baik hendaklah mempunyai sekitar 200 – 300 helaian dan sebaiknya yang berkulit tebal agar ianya boleh disimpan dengan baik pada satu jangka masa yang lama.Satu persoalan yang sering ditimbulkan oleh Pemimpin Pengakap kepada saya ialah ‘Berapa banyak Buku Log harus disediakan oleh setiap Pengakap yang ingin mengambil ujian tertentu?’Saya masih ingat sewaktu saya menjadi ahli Pengakap Kanak-kanak dahulu, saya menyimpan semua rekod dan nota Pengakap saya di dalam SATU buku log bersaiz 21 cm X 17 cm dengan ketebalan 600 mukasurat. Dan buku tersebut juga saya gunakan sepanjang tempoh saya menyertai Pengakap Kanak-kanak sehingga saya menamatkan persekolahan rendah saya. Maksudnya, kesemua catatan, nota dan pengesahan Pemimpin kami terhadap Ujian Lencana Keahlian hingga Lencana Keris Emas saya catatkan dalam satu buku. Itu merupakan kelaziman di kalangan Pengakap pada masa tersebut.Namun begitu, bukan senang untuk menjaga sebuah buku untuk satu tempoh yang lama. Malah ianya berkemungkinan hilang dalam sesuatu program atau aktiviti yang disertai oleh seseorang Pengakap. Kesannya, seseorang Pengakap yang kehilangan buku lognya harus memulakan semula catatan buku lognya dari awal. Nota tersebut mungkin boleh ditulis semula, tetapi bagaimana pula dengan pengesahan Pemimpin yang telah diterimanya?Berikut merupakan cadangan bagaimana pembahagian catatan Buku Log bagi tajuk-tajuk asas yang sesuai dan mudah dijaga oleh seseorang Pengakap.

UNIT PENGAKAP KANAK-KANAK
1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1 buku
2) Lencana Keris Gangsa - 1 buku
3) Lencana Keris Perak - 1 buku
4) Lencana Keris Emas + Rambu Pengakap Kanak-kanak - 1 buku

UNIT PENGAKAP MUDA
1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1 buku2
) Lencana Usaha - 1 buku
3) Lencana Maju - 1 buku
4) Lencana Jaya + Rambu Pengakap Muda - 1 buku
5) Buku Log Pengembaraan - 1 buku

UNIT PENGAKAP REMAJA
1) Lencana Ekspedisi - 1 buku
2) Lencana Jayadiri - 1 buku
3) Lencana Kegiatan - 1 buku
4) Lencana Kemahiran - 1 buku
5) Lencana Perkhidmatan - 1 buku6) Ujian Sikap - 1 buku

UNIT PENGAKAP KELANA
1) Catatan Peribadi + Lencana Keahlian + Vigil + Pertabalan - 1 buku
2) Lencana-lencana Kemajuan - 1-5 buku
3) Projek - 1 buku
4) Program atau Aktiviti Khas (jika ada) - 1 buku*

 Bagi semua unit-unit Pengakap di atas, program atau aktiviti tambahan yang disertai seperti perkhemahan, kursus, jambori dan sebagainya boleh dimuatkan dalam 1 buku berasingan.Kegunaan Buku Log sebenarnya bukan hanya terhad kepada ahli Pengakap yang ingin mengambil ujian. Pemimpin serta Pesuruhjaya Pengakap juga masih boleh menggunakan kaedah buku log untuk merekodkan benda-benda seperti berikut :- Kemajuan atau prestasi ahli Pengakap di bawah bimbingannya.- Kursus dan seminar yang dijalani- Jambori dan perkhemahan yang dihadiri- ‘Trip’ atau rombongan lawatan yang disertaiNota : Hingga kini, saya masih membuat catatan Buku Log Setiausaha Latihan Negeri yang mencatatkan maklumat berkaitan perjalanan serta Kursus-kursus Kepimpinan Manikayu dan Vigil Pengakap Kelana yang saya hadiri dan bantu di serata negeri.MAKLUMAN:Untuk kegunaan Pentarafan Pengakap Raja, pihak Lembaga Pentaraf Negeri telah menetapkan bahawa setiap calon harus menghantar atau membawa bersama buku-buku log berikut untuk diperiksa serta bagi kegunaan ujian semasa pentarafan
.1) Buku Log Catatan peribadi / Lencana Keahlian
2) Buku Log Lencana Usaha
3) Buku Log Lencana Maju
4) Buku log Lencana Jaya
5) Buku log Pengembaraan
6) Buku log Lencana Jayadiri
7) Buku log Lencana Kegiatan
8) Buku log Lencana Kemahiran
9) Buku log Lencana Perkhidmatan
10) Buku log Lencana Ekspedisi
11) Buku Log Ujian Sikap*

 Buku-buku Log tersebut di atas haruslah telah disahkan oleh Pesuruhjaya Daerah atau sekurang-kurangnya Pemimpin Kumpulan.

FORMAT ASAS SESEBUAH BUKU LOG

Saiz dan ketebalanSaiz Buku Log yang sesuai adalah 21 cm x 32 cm dengan ketebalan 200 muka surat dan berkulit tebal. (200 Foolscap Book)
Kulit Luar (Cover)Kulit luar buku amat penting dijaga agar ianya tahan lama dan tidak mudah rosak. Sebaiknya kulit buku tersebut dibalut dengan plastic (pvc book wrapper) agar tidak mudah binasa akibat basah.Logo bagi ujian atau lencana berkaitan boleh dilekatkan bagi memudahkan penulis serta pemeriksa membezakan buku-buku log yang ada mengikut isi kandungannya.

Contoh bagi lapisan luar buku yang telah saya keluarkan bagi pihak Majlis Pengakap Daerah Penampang.

Halaman pertamaHalaman pertama merupakan halaman yang paling penting kerana di sinilah selalunya para pemeriksa dapat membuat pemerhatian umum dan mengagak kesungguhan penulis dalam menyediakan buku tersebut (First impression evaluation).Sebaik-baiknya halaman pertama dimuatkan dengan maklumat peribadi penulis. Contoh maklumat adalah seperti berikut
:Maklumat Asas
Nama Penuh
No. Sijil Lahir / Kad Pengenalan
Tarikh dan Tempat Lahir
No. telefon / Telefon bimbit
Alamat e-mail
lAlamat surat menyurat
Maklumat Kepengakapan
Tarikh Mula Berpengakap
Nama Sekawan / Patrol (terkini)
No. Kumpulan / Troop / Krew (terkini)
Nama dan alamat Sekolah (terkini)Daerah (terkini
)Maklumat Waris dan Alamat PerhubunganAlamat tetap
Nama Bapa dan pekerjaannyaNo. telefon / Telefon bimbit
Nama Ibu dan PekerjaannyaNo. telefon / Telefon bimbit

Contoh halaman pertama buku log yang mengandungi maklumat peribadi penulis bagi buku log tersebut Halaman kedua Halaman kedua selalunya adalah lebih baik dimuatkan kandungan atau sukatan bagi ujian lencana (bagi buku log lencana). Ruangan untuk tandatangan pengesahan pemimpin beserta tarikhnya juga harus disediakan di tepi kanan setiap tajuk ujian yang disenaraikan.Nota :Di masa lepas, setiap Pengakap dibekalkan dengan 'Kad Ujian' (Laporan Kemajuan) mengandungi sukatan ujian serta ruangan tandatangan Pemimpin. Dan kad ini dilekatkan pada buku log.Pada hari ini, Buku Log berfungsi sebagai 'Kad Ujian' bagi setiap ahli Pengakap.

Ruangan Catatan di setiap muka suratAdalah dicadangkan agar ruangan selebar 1 – 2 inci disediakan di sebelah kanan setiap muka surat di dalam buku log. Ini adalah untuk memudahkan perkara-perkara berikut :
1) Ruangan bagi komen, ulasan dan pengesahan pemeriksa buku.
2) Pembetulan fakta yang perlu dibuat selepas selesai penulisan.
3) Penambahan fakta
(jika tertinggal semasa menulis nota / fakta yang diperolehi sesudah penulisan nota)
Contoh kegunaan ruangan kosong di sebelah kanan setiap muka surat di dalam Buku Log.Foto, lakaran dan sampel di dalam buku logPenulis bebas untuk menggunakan foto, lakaran, lukisan mahupun sebarang bentuk ilustrasi untuk menyokong laporan ataupun nota di dalam buku log mereka. Namun, ianya haruslah tulen dan menggambarkan perkara sebenar mengikut skim ataupun berdasarkan pengalaman ataupun apa yang telah dilakukan oleh penulis.

Contoh laporan bergambar di dalam Buku Log
Untuk tugasan tertentu contohnya di dalam Pengembaraan di mana ahli Pengakap diarahkan untuk mengumpulkan sampel tertentu seperti tumbuhan, serangga dan sebagainya, penulis buku log haruslah mempelajari teknik mengawet (sekiranya perlu) dan sampel boleh dilekatkan di dalam buku log mereka.
Contoh sampel yang disimpan di dalam Buku log
Lakaran ataupun lukisan sebaik-baiknya dilukis sendiri oleh penulis. Pemeriksa buku log tidak menilai atas cantik atau tidaknya sesebuah lukisan yang dibuat di dalam buku log,Apa yang lebih penting ialah penulis berupaya menyampaikan laporan serta nota dengan jelas hasil dari kerja tangan mereka sendiri.
Contoh lukisan di dalam Buku Log
Bentuk penulisan dan isi nota
Penulisan di dalam Buku Log haruslah benar, asli dan jelas. Penulis haruslah menggunakan ayat yang ringkas tetapi padat, tepat dan jelas. Elakkan penggunaan ayat yang panjang berjela-jela.
Contoh bentuk penulisan laporan
Apakah yang perlu dimuatkan di dalam Catatan peribadi?
Buku Log Catatan Peribadi lebih merupakan 'Profail' diri penulis secara keseluruhan.
Di dalam buku tersebut, antara bahan-bahan yang boleh dimuatkan adalah seperti berikut :
1) Maklumat lengkap penglibatan dalam Pengakap
2) Kursus-kursus yang telah dihadiri (beserta salinan sijil berkaitan)
3) Ujian-ujian yang telah dilepasi (beserta salinan sijil berkaitan)
4) Kemahiran khusus atau luar skim latihan yang dimiliki.
KesimpulanApa yang dicatatkan di dalam Buku Log haruslah berbentuk laporan terhadap apa yang telah dilakukan oleh penulis dan bukannya SALINAN nota dari bahan rujukan lain. (Kecuali sesetengah nota yang berbentuk fakta seperti lagu kebangsaan, tugas dan fungsi jawatan-jawatan tertenu dan sebagainya).Buku Log adalah merupakan nadi kepengakapan seseorang ahli Pengakap. Ianya merupakan bukti kepada kesungguhan, komitmen serta penglibatan ahli dalam aktiviti, program dan ujian sepanjang mereka berpengakap

Cerita dari Sabah.
Ini lagi satu masalah dalam Pengakap di Sabah ni…kebanyakan ahli Pengakap seakan tidak tahu membezakan antara perkara yang Mustahak, Penting, Kurang Penting dan Tidak Perlu.
Apa tujuan kita berpengakap? Memang sudah digariskan bahawa Berpengakap adalah FUN..WITH A PURPOSE..Bukan sekadar enjoy dan bersukaria kosong semata-mata.

Ada yang mendakwa berjiwa Pengakap (unit terserah laa..mana-mana unit) tetapi benarkah mereka menghayati cara hidup Pengakap sebenar? Ada yang menamakan diri mereka sempena pangkal nama Pengasas Pengakap (maaf jika ada yang tersinggung, tapi perkara ini perlu dijelaskan, jangan nanti Pengakap bakal menampakkan kejahilan dan kurang ilmu mereka)..tetapi tahukah mereka ini apa kepentingan dan maksud hatta nama penuh pengasas kita sendiri ataupun cara menyebutnya? Jangan main ambil tangkap muat sahaja untuk menunjukkan yang kita bersemangat serta menyokong sesuatu atau seseorang. Perhati dan selidikilah terlebih dahulu boleh atau tidaknya kita menggunakan sesuatu itu tanpa menyinggung mana-mana pihak. Manalah tahu ada sesetengah perkataan hanya khusus untuk golongan tertentu yang mana sekiranya digunakan oleh orang lain, akan menyinggung mereka ini. Kalau diturutkan hati, saya pun mahu sedemikian kerana saya sendiri sudah berpengakap sebelum saya bersekolah lagi, kemudian menjadi Pengakap Kanak-kanak di St. Agnes, Pengakap Muda dan Remaja di SBPS (sekarang SMESH), Pengakap Kelana di KLKM dan Ibupejabat Sabah, Penolong Pemimpin dan Pemimpin di SBPS, Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri hinggalah sekarang Penolong Pesuruhjaya Negeri. "I’ve tasted joy and tears in all levels of Scouting..and I am still around.." Jadi saya rasa semangat berpengakap yang saya ada tidak jauh kurang daripada mereka yang saya sebutkan di atas.

Saya agak terkilan dan merasa jauh hati di atas sikap sesetengah ahli Pengakap yang pada pandangan saya tertutup minda kepengakapannya dan tidak tahu menentukan ‘priority’ mengikut tahap Pengakapan mereka. Bukannya apa, saya berhempas pulas selama setahun merangka dan menyediakan program serta mencipta peluang untuk para pemimpin memajukan diri serta mendapat pengiktirafan, tetapi kesempatan ini telah disia-siakan oleh segelintir pemimpin muda yang saya harap dapat memanfaatkannya. Soalan yang ingin saya utarakan ialah, mana yang lebih penting? Aktiviti yang boleh dianjurkan pada bila-bila masa oleh sesiapa saja, ataupun peluang mendapat pengiktirafan yang hanya boleh dianjur oleh peringkat yang tertinggi dalam negeri dan mungkin bagi kali yang terakhir? Saya tahu tidak salah bagi pemimpin memilih jalan sendiri tetapi apabila sudah mula memperkatakan (walaupun secara bergurau) tentang kebaikan yang itu berbanding ini; rugi tidak ikut itu dan ini; ianya bagaikan satu tamparan bisa tepat ke muka orang yang benar-benar ingin membantu. Seakan keikhlasan untuk membantu diremehkan dan ada perkara yang didakwa lebih baik daripada itu.

Cuba kita renungkan senario berikut : (penglibatan unit Pengakap)
PENGAKAP KANAK-KANAK - 60% Bersukaria, 40 % mengalihkan tenaga berlebihan ke arah sesuatu yang positif.
PENGAKAP MUDA - 50% Bersukaria, 50 % latihan kemahiran asas dalam Pengakap dan kehidupan.
PENGAKAP REMAJA - 40% Bersukaria, 40 % Latihan dan amali kemahiran lanjutan dalam Pengakap, 20 % Penglibatan dalam masyarakat.
PENGAKAP KELANA - 20% Bersukaria, 20 % latihan kemahiran tertinggi dalam Pengakap dan kehidupan, 30 % Menyumbang kepada pergerakan Pengakap dan masyarakat, 30 % latihan asas kepimpinan dalam Pengakap.
PEMIMPIN - 10 % Masa sukaria berkala, 50 % Sokongan kepada unit Pengakap, 40 % latihan lanjutan dalam kepemimpinan Pengakap.
PESURUHJAYA - 10 % Masa sukaria berkala, 10 % sokongan kepada Pemimpin, 25 % Latihan peringkat tertinggi dalam kepemimpinan Pengakap, 25 % latihan kepakaran, 30 % pengurusan dan pentadbiran.
Jadi, sekiranya anda faham maksud pembahagian di atas…secara sendirinya anda akan dapat menghuraikan apa sebenarnya tujuan dan untuk siapa anda Berpengakap.
Di peringkat awal, memang kita Berpengakap untuk diri kita sendiri…tetapi apabila anda sudah mencapai peringkat Kelana, anda sudah menjadi tulang belakang kepada kepemimpinan dan Berpengakap untuk diri sendiri sudah menjadi perkara kedua dalam susunan keutamaan (priority list). Perkara yang utama ialah Berpengakap untuk ahli Pengakap terutamanya unit yang letaknya di bawah daripada unit anda. Apatah lagi sekiranya anda sudah memegang jawatan.

Memang diakui seseorang menyertai Berpengakap atas dasar minat dan sekiranya aktiviti yang ditawarkan sudah kurang menarik minat anda dan oleh itu, tujuan anda menyertai pergerakan ini sudah mulai kabur kedudukannya. Jadi anda berhak untuk memilih aktiviti yang memenuhi citarasa anda. Tetapi pernahkah anda terfikir dilema serta cabaran yang dihadapi oleh golongan yang menganjur dan memimpin? Adakah anda bebas daripada tuntutan memenuhi tanggungjawab untuk melapisi serta menggantikan barisan kepimpinan yang sedia ada? Adakah anda ingin menjadikan kami golongan Pesuruhjaya ini sebagai penganjur hingga ke usia tua tanpa ada pengganti? Itulah hakikat pahit yang terjadi dalam pergerakan kita pada hari ini. Pemimpin tertinggi enggan mengiktiraf Pemimpin yang muda untuk menggantikan tempat mereka. Manakala Pemimpin yang muda lebih gemar pada aktiviti bersuka-sukaan tanpa memikirkan kepentingan untuk memajukan diri, kemahiran serta pengiktirafan mereka sendiri.
Perkara utama yang dilatih dalam Kepimpinan Pengakap ialah
1) Menetukan susunan keutamaan (priority listing)
2) Pengorbanan (Sacrifice)
Apa yang dikorbankan? Masa, wang ringgit dan tenaga. Itu memang diketahui umum. Tetapi yang kadangkala dilupakan oleh Kelana dan Pemimpin ialah masa beraktiviti dan bersukaria. Untuk menjadi Kelana bukan semudah menganjur atau mengikuti sesuatu program yang menarik minat anda. Kelana yang masih mengutamakan aktiviti dan membelakangkan latihan kepimpinan bagi saya kurang memahami susunatur kepentingan dalam Kepengakapan mereka. Malah saya berani menyatakan bahawa mereka yang bersikap sedemikian telah gagal Ujian Mengenal Diri (Vigil) ataupun langsung belum mendudukinya. Sebabnya, sekiranya anda telah menghayati Ujian Mengenal Diri dengan sebenar-benarnya, anda pasti tahu serta memperakui tanggungjawab anda kepada Pergerakan Pengakap dan apa yang diharapkan daripada anda oleh Kumpulan, Daerah dan Negeri. Jadi, jangan sewenang-wenangnya mengaku anda berjiwa Kelana sekiranya intipati Kelana itu sendiri belum anda fahami dengan sebenar-benarnya. Sifat mementingkan diri sendiri itu masih menebal dalam jiwa anda. Belum layak untuk diiktiraf sebagai seorang Pengakap Kelana.

Kursus Manikayu IV A baru-baru ini benar-benar telah membuka mata saya terhadap kualiti dan komitmen Kelana dan Pemimpin yang ada sekarang. Sekiranya faktor kewangan menjadi permasalahan utama, penyelesaiannya sentiasa ada. Anda boleh tanya rakan-rakan anda yang telah menyertai kursus tersebut yang menghadapi masalah sama, apa tindakan mereka? Apa kelonggaran yang telah diberikan kepada mereka sehingga mereka mampu untuk menyertai kursus tersebut? Saya telah mempertaruhkan nama baik, kesihatan, sumber malah kedudukan saya DEMI memastikan seramai mungkin Kelana dan Pemimpin dapat menyertai kursus ini bagi mengisi kekosongan barisan pelapis kepimpinan Pengakap Negeri. Ini kerana tidak ramai Pemimpin tertinggi yang ingin turun padang untuk melatih barisan Pemimpin muda sebagai pelapis kerana takut akan pencapaian Pemimpin bawahan yang bakal lebih tinggi daripada mereka sendiri.

Jadi, kepada anda yang telah mensia-siakan peluang yang telah dibuka depan mata anda (untuk makluman, kami dahulu tidak pernah mendapat peluang memajukan diri seperti zaman anda sekarang), bantulah saya menghuraikan dilema yang menimpa saya sekarang ini. Apakah tindakan yang harus saya ambil? Ini kerana sekiranya saya menurutkan rasa amarah serta logik saya, peluang anda untuk memajukan diri serta mendapatkan pengiktirafan kepimpinan anda pada masa hadapan amatlah tipis. Tetapi di sebalik itu, jiwa Pengakap saya menghalang saya daripada berbuat demikian kerana saya perlu mendapatkan penjelasan daripada anda sendiri. Saya tidak wajar menilai anda berdasarkan pandangan saya sendiri.

TUESDAY, JANUARY 13, 2009


CERITA HUTAN

MOWGLI

Di pedalaman India pada zaman dahulu ada seekor harimau tua yang tempang kakinya dan paling dibenci oleh binatang-binatang yang hidup aman dalam sebuah kawasan hutan. Harimau ini bernama Shere Khan.Pada suatu malam ketika dia menghendap-hendap mencari makanan Shere Khan ternampak sebuah khemah pemotong kayu. Di dalam khemah itu, pemotong kayu suami isteri dan seorang anak meeka yang masih kecil sedang tidur dengan nyenyak. Di sisi khemah itu, unggun api menyala dengan maraknya.Kerana terlalu gembira menemui mangsanya itu Shere Khan terus menerkam. Malangnya Shere Khan terpijak bara unggun api yang ada di sisi khemah itu. Dia pun melolong kesakitan sehingga menggemparkan satu keluarga serigala yang tinggal dalam sebuah gua batu tidak jauh dari situ.

Sedang Bapa Serigala berlari keluar dari guanya hendak menyiasat kejadian itu, tiba-tiba dia terdengar sesuatu merayap di dalam semak. Apabila dia bersedia hendak menerkam, dia ternampak seorang anak manusia sedang merangkak ke arahnya dengan berani. Budak itu adalah anak pemotong kayu yang tertinggal di dalam khemah ketika ibu bapanya melarikan diri apabila terdengar lolongan Shere Khan tadi.Bapa serigala menggonggong budak itu dan membawanya ke dalam gua. Ibu serigala kasihan dan tertarik hati kepadanya kerana budak itu sedikit pun tidak takut kepada mereka malah berebut-rebut dengan anak serigala yang lain menghisap susu Ibu Serigala.

Kedua-dua Ibu dan Bapa Serigala bersetuju menerima budak itu sebagai anak mereka sendiri dan menamakannya Mowgli. Anak-anak serigala yang lain juga sayang kepadanya dan menganggap Mowgli sebagai saudara mereka sendiri.Tetapi tidak lama kemudian Shere Khan datang ke mulut gua itu dengan dipandu Tabaqui, seekor rubah (jackal), yang memang hidupnya memakan sisa tangkapan binatang-binatang lain.Tabaqui terdahulu daripada itu telah dapat mengesan ke mana budak kecil pemotong kayu itu pergi dan mengharap dapat makan sisa-sisa Shere Khan jika harimau tempang itu memakan budak itu nanti.Bagaimanapun apabila Shere Khan menuntut supaya Bapa Serigala menyerahkan budak itu, yang didakwanya sebagai haknya, Bapa dan Ibu Serigala menentang. Shere Khan cuba hendak mengambil budak itu dari dalam gua, tetapi badannya tidak muat melalui pintu gua.Dengan marah dia akhirnya meninggalkan gua itu tetapi bersumpah yang suatu hari nanti budak itu akan tetap menjadi mangsanya. Semenjak itu, Mowgli tinggal bersama-sama keluarga serigala itu dan benar-benar sebagai anak serigala di dalam hutan.

DITERIMA SEBAGAI AHLI KUMPULAN SERIGALA

Ada suatu adat Kumpulan Serigala yang tinggal di hutan itu. Apabila anak-anak serigala sudah agak besar, mereka mestilah ditunjukkan kepada semua anggota Kumpulan. Mereka mengadakan Sidang Kumpulan sebulan sekali pada malam bulan purnama di kawasan berbatubatu yang dipanggil Batu Sidang.Di sinilah nasib anak-anak serigala ditentukan, sama ada diterima sebagai anggota Kumpulan atau sebaliknya. Apabila seekor anak serigala sudah diterima sebagai anggota Kumpulan, tidak seekor serigala lain pun boleh membunuhnya, dan jika ada yang membunuh, hukumannya ialah bunuh juga.

Bapa Serigala menunggu sehingga anak-anaknya termasuk Mowgli, sudah boleh berlari lari. Kemudian, pada suatu malam bulan purnama, Bapa dan Ibu Serigala pun membawa anakanak mereka ke Batu Sidang itu.Apabila semua anggota Kumpulan sudah berada di situ dengan anak masing-masing, Ketua Kumpulan, seekor Serigala Jantan yang gagah lagi bijaksana bernama Akela, mula menyuruh ibu-ibu serigala menunjukkan anak masing-masing untuk dilihat oleh anggota-anggota Kumpulan.Akhirnya tibalah kepada giliran Mowgli. Dia sedikit pun tidak menunjukkan rasa takut sebaliknya bergurau dengan anak-anak serigala lain seolah-olah dia pun serigala juga. Apabila Akela menyuruh anggota-anggota Kumpulan melihat Mowgli dan membuat keputusan, tiba-tiba Shere Khan mengaum dari belakang batu besar."Anak manusia milikku. Berikan dia kepadaku semula kerana anak manusia tidak layak hidup bersama kumpulan Serigala!" katanya.

Setelah senyap seketika, mulalah beberapa ekor anak serigala yang sudah agak dewasa menyatakan rasa tidak setuju mereka menerima Mowgli. Mengikut Undang-undang Hutan, apabila timbul perselisihan begitu, dua anggota Kumpulan yang bukan ibu atau bapa kepada anak serigala itu mestilah bercakap menyokongnya baru dia diterima menjadi anggota Kumpulan."Siapakah antara anggota Kumpulan yang bersedia menyokong?" tanya Akela, Ketua Kumpulan.Tidak seekor pun anggota Kumpulan itu bersuara dan Ibu Serigala pun bersedia hendak bertempur bermati-matian untuk mempertahankan Mowgli. Seekor binatang lain yang bukan anggota Kumpulan itu tetapi dibenarkan bercakap dalam Sidang Kumpulan ialah Baloo, seekor beruang tua yang menjadi guru mengajar anak-anak serigala Undang-undang Hutan.Setelah tidak ada serigala yang lain bercakap, Baloo berdiri di tempatnya di belakang Batu Sidang dan menyokong supaya Mowgli diterima sebagai anggota Kumpulan.
Dia sendiri berjanji akan mengajar Mowgli. Tetapi Mowgli memerlukan lagi satu suara menyokongnya. Ketika Akela meminta sokongan lagi, Bagheera, seekor Harimau Kumbang yang tangkas tetapi baik hati, tiba-tiba bercakap. Walaupun dia tidak berhak bersuara, tetapi mengikut Undang-undang Hutan, nyawa seekor anak serigala boleh ditebus dengan seekor buruan.Dia akan menghadiahkan seekor lembu jantan yang baru dibunuhnya dan disembunyikan tidak jauh dari situ untuk menebus nyawa Mowgli supaya diterima sebagai anggota Kumpulan. Anggota-anggota Kumpulan segera bersetuju menerima Mowgli sebagai anggota apabila mendengar hadiah lembu jantan yang ditawarkan oleh Bagheera itu.Mereka turun dari bukit dan pergi beramai-ramai mendapatkan buruan itu dan tinggallah Akela, Bagheera, Baloo dan keluarga Mowgli saja di Batu Sidang itu.Shere Khan mengaum lagi sekuat hatinya, terlalu marah kerana budak itu tidak diserahkan kepadanya. Tetapi Akela berkata keputusan itu amat baik kerana manusia dan anak mereka memang baik dan Mowgli akan dapat memberi pertolongan kepada suatu hari kelak.

" Kekuatan sesebuah enam sekawan adalah ahli sekawannya dan kekuatan ahli sekawan terletak pada enam sekawannya 

SEJARAH PENUBUHAN PENGAKAP

Pada 22 Februari 1857, seorang bayi telah dilahirkan di sebuah rumah berhampiran Hyde Park, London. Bayi itu dinamakan Robert Stephenson Smyth Baden Powell.
Bapanya bernama Reverend H.G. Baden Powell, iaitu seorang maha guru di Universiti Oxford. Ibunya ialah anak seorang Laksamana British bernama W.T. Smyth. Beliau mempunyai tujuh orang adik-beradik.Pada usia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau dalam pemeliharaan ibunya. Beliau sangat gemar kepada penghidupan di luar rumah. Beliau terkenal dengan nama ringkas BP. BP amat sayang kepada kanak-kanak.

BP ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Askar Hussar ke-13 dan ditempatkan di India pada tahun 1876 dan kemudian mendapat pangkat Ketua Inspektor pada tahun 1903.Dalam satu serangan terhadap Mafeking pada tahun 1899, BP merancang membawa pesanan-pesanan dan menggantikan askar-askar di medan perang dengan kanak kanak yang tinggal di bandar yang diserang itu.Kepantasan dan kecekapan kanak kanak ini meninggalkan kesan yang amat dalam pada hati BP dan pada tahun 1907, ketika pulang ke England, beliau telah menganjurkan suatu perkhemahan percubaan di Pulau Brownsea bagi kanak-kanak lelaki.Melalui kejayaan perkhemahan di Pulau Brownsea itu, pada tahun 1908, BP telah mengarang sebuah buku bernama Scouting For Boys.

BP menanam semangat taat kepada Tuhan, Raja dan Negara. Kejayaan ini tidak dapat ditandingi oleh teman-teman yang sezaman dengannya. Inti daripada pusaka yang ditinggalkannya ialah adunan teratur bagi kecekapan dan tatatertib yang mengembangkan dasar dasar asas seorang manusia.Dalam Jambori Pengakap Sedunia Pertama di Olympia, BP telah dilantik menjadi Pengakap Agung bagi seluruh dunia.

Pada tahun 1937, sewaktu berumur 80 tahun, BP bersama-sama isterinya. Lady Baden Powell, seorang yang telah bersungguh-sungguh membantu BP dalam segala kerja mengembangkan pergerakan pengakap, dengan disertai oleh anak-anaknya, meninggalkan Bandar Raya London menuju Kenya di Afrika dan bermastautin di sebuah kampung yang aman dengan pemandangan yang indah, hutan yang menghijau, kemuncak gunung yang diselaputi oleh saiji; di situlah BP berehat setelah lama berbakti kepada dunia.

Buku Scouting For Boys dijadikan panduan untuk semua pengakap dunia. Ramai yang telah menerima ideanya kerana ini terbukti dengan perkembangan pergerakan ini ke serata dunia kecuali negara-negara komunis.Pergerakan pengakap telah memberi peluang kepada muda mudi mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan telah menunjukkan kecekapan dalam berbagai perkara yang diuji. Pada mulanya masyarakat menganggap perkhemahan sebagai sesuatu yang janggal, tetapi Lord Baden Powell telah menyangkal perkara ini sehinggalah kini perkhemahan bukan sahaja popular di kalangan pengakap malah di kalangan masyarakat biasa.Lord Baden Powell telah menerima banyak anugerah scperti 'Baron’ dan telah menjadi Ketua Pengakap Dunia. Pada tahun 1937, beliau menerima Order of Merit. Beliau telah meneruskan usaha dalam lapangan ini sehingga berumur 80 tahun.Beliau kemudiannya melancong ke serata pelosok dunia untuk menyaksikan sendiri kegiatan pengakap dan pandu puteri. Seumur hidupnya, BP telah berusaha mewujudkan kegembiraan kepada orang lain melalui pergerakan pengakap.

Oleh yang demikian, adalah menjadi kerugian besar bagi semua orang khususnya pengakap apabila pada 8 Januari 1941 BP meninggal dunia. Mendiang dikebumikan dengan penuh kchormatan di bawah bayang-bayang kelembutan Gunung Kenya.Kata-kata akhirnya kepada kita semua di dalam pergerakan ini ialah :

TUHAN MEMIMPIN DAN MEMBANTUMU DI DALAM KERJA-KERJAMU.

No comments:

Post a Comment